selamat datang blog ku

Tuesday, May 3, 2011


Penyanyi lagu Thank You Allah cuba lupakan kisah kejahilan
SUATU ketika dulu dia pernah lalai dan hanyut dalam arus dosa dan noda. Leka dengan godaan dunia sehingga lupa pada agamanya sendiri. Itulah pengakuan penyanyi popular, Maher Zain, saat mendedahkan kisah silam sewaktu zaman kejahilannya tiga tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, dia terlalu asyik mengejar keduniaan dan banyak menghabiskan masa dengan berhibur, membuatkan dia semakin lupa pada yang Esa.
Ditambah hakikat dia sering dikelilingi sahabat yang tunggang langgang perjalanan hidupnya membuatkan Maher tersasar dalam mencari arah tuju. Mujurlah dalam keadaan terumbang-ambing begitu, Tuhan cepat memberikan kesedaran. Lantas, dia bangkit dan mencari jalan memperbetulkan diri.
“Tiga tahun lalu, hidup saya penuh dengan noda dan dosa. Macam-macam perkara jahat yang saya lakukan. Mencari hiburan di kelab malam, bersosial hingga lupa diri. Tapi mujurlah kesedaran itu datang dengan cepat dan saya tidak sempat untuk terjebak dalam gejala sosial yang lebih dahsyat seperti penyalahgunaan dadah dan ketagihan alkohol.
“Dari situ saya sedar, Tuhan sentiasa ada di sisi saya untuk memberi panduan dan tidak mahu terus membiarkan saya terus sesat dan terumbang-ambing dalam menjalani kehidupan yang fana ini,” ujar Maher ketika ditemui pada majlis pelancaran album perdananya, Thank You Allah, di Menara Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Pada majlis itu, Maher turut menerima anugerah Platinum apabila album yang mula berada di pasaran Malaysia sejak Mei lalu itu berjaya dijual sebanyak 30,000 unit. Satu angka yang cukup hebat untuk penyanyi baru sepertinya.
Penghijrahannya itu dilakukan dengan rela hati, tanpa sebarang paksaan dari sesiapa. Cerita penyanyi Insha Allah ini, sampai satu tahap, ada getar di hati menyatakan apa yang dilakukannya itu adalah salah.
“Ada ketika saya sendiri sampai tahap bertegang urat dengan kawan-kawan dan mempertikaikan apa yang kami sudah lakukan sebelum ini. Dari situ, saya secara berdikit-dikit meninggalkan semua tabiat buruk. Perkenalan dengan komposer terkenal Red One menjadi titik tolak saya mengembangkan bakat sebagai seorang penulis lagu.
“Berdasarkan pengalaman yang dilalui, saya cuba menyampaikan mesej bahawa walaupun kita sudah tersesat jauh, namun Allah sentiasa ada di sisi dan tetap menunjukkan jalan kebenaran,” tutur pemuda berusia 28 tahun ini.
Apabila dia menghasilkan album sulungnya, apa yang berlegar di fikiran adalah sekadar berkongsi bakat serta menyalurkan amanat berguna untuk semua penggemar muziknya. Namun tidak pula dia menyangka sambutan luar dugaan yang terbentang di depan mata.
“Saya tak tahu nak kata apa. Apabila album ini berjaya menarik perhatian peminat dari pelbagai negara, itu sudah cukup menggembirakan saya. Sekurang-kurangnya saya tahu mereka suka dengan apa yang saya hasilkan. Dan lebih mengujakan, golongan bukan Islam juga menyukai album ini,” cerita Maher lagi.
Ditanya apakah pandangannya terhadap sikap sesetengah pihak yang begitu fobia dengan Islam serta sering melabelkan agama suci ini dengan perkara tidak baik, Maher berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menunjukkan sifat terpuji seperti yang dikehendaki Islam supaya mereka di luar sana tidak mudah terpengaruh dengan dakyah yang disebarkan musuh agama.



( Maher Zain-thank you Allah.....)



1 comment: